Saturday, August 7, 2010

Awak Cinta Saya??

Posted by Aziatie at 3:47 PM



Islam tidak pernah menghalang sesuatu yang merupakan fitrah. Tetapi Islam memberikan garis panduan agar kehidupan mereka terpelihara daripada kerosakan dan menjamin keamanan mereka.

Cinta yang didorong oleh rasa takut kepada ALLAH akan membawa kebaikan dan kebahagian kepada manusia. Sebaliknya cinta yang berlandaskan nafsu tidak akan kekal. Malah akan menyebabkan manusia rasa gundah gulana dan kecewa. Cinta yang sejati dan agung hanyalah untuk ALLAH.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Tiga perkara yang sesiapa melakukannya akan mendapat kemanisan iman: Menjadikan ALLAH dan Rasul-NYA s.a.w sebagai cinta yang paling utama, menyintai seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia benci dicampakkan ke dalam neraka." – Riwayat al-Bukhari.

Kewujudan cinta sebelum membuat keputusan untuk mengahwini seseorang itu penting dan dituntut oleh syarak. Rasulullah s.a.w menyarankan agar mereka yang ingin berkahwin melihat wanita yang ingin dikahwini terlebih dahulu. Hal ini pernah berlaku kepada seorang sahabat Nabi, iaitu al-Mughirah bin Syu'bah. Beliau memberitahu baginda bahawa beliau ingin mengahwini seorang wanita. Lalu baginda menyarankan agar beliau melihat dahulu wanita itu kerana ia boleh mendatangkan perasaan cinta kepada pasangan yang ingin dikahwini. (Rujuk al-Tirmizi: 1087. Diklasifikasikan sebagai hasan oleh al-Nasai).

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Tidak kami dapati pada dua orang yang sedang bercinta itu (lebih baik daripada) nikah." – Riwayat Ibn Majah dan diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Busoiri dan al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah: 624.

Al-Sindi r.h berkata:
"Hadis itu boleh merujuk kepada dua orang atau lebih. Maksudnya, jika timbul perasaan cinta antara dua manusia yang berlainan jenis, cinta itu tidak akan bertambah atau bertahan lama tanpa ikatan perkahwinan. Jika terjadi perkahwinan atas dasar cinta itu, ia akan bertambah kuat dari hari ke hari. "

Konsep cinta dalam Islam sangat unik, iaitu menyintai sesuatu atau seseorang hendaklah kerana mencari keredhaan ALLAH dan menurut peraturan syarak. Islam mengajar kita bahawa perkahwinan adalah ikatan yang suci, tepat dan satu-satunya cara yang dibenarkan oleh syarak dalam menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita.

Jika seorang lelaki benar-benar ingin mengambil seorang wanita menjadi isteri, dia perlu melihat wanita itu dengan keizinan wali dan ditemani mahram.

Sabda Rasulullah s.a.w melalui hadis Ibn Abbas r.a:
"Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan wanita kecuali wanita itu bersama mahramnya." – Riwayat al-Bukhari.

bercinta sampai hujung usia ^^
Dalam Islam, lelaki dan wanita yang tidak ada sebarang pertalian darah (mahram) tidak boleh membuat sebarang perhubungan, sentuhan, keluar berdua-duaan (dating) atau sebagainya tanpa ikatan yang sah. Cinta yang berpandukan kecintaan kepada ALLAH akan membahagiakan hati manusia dan menenangkan jiwa mereka. Mereka dapat menilai baik buruk sesuatu perkara dan sanggup mengorbankan perasaan cinta dan keinginan sendiri semata-mata kerana takut akan azab ALLAH. Mereka yakin sepenuh hati bahawa ikatan cinta yang diredhai itulah yang akan membawa kebahagian dan keberkatan dalam hidup mereka.

Ingatlah bahawa syaitan sentisa menghiasi indah sesuatu maksiat. Padahal ia amat keji di sisi ALLAH. Orang yang bercinta selalu lupa diri kerana telah terikut jalan syaitan. Bukanlah cinta itu yang mesti diperangi kerana ia fitrah dan pendorong utama manusia hidup di dunia ini. Tetapi, tindakan melanggar hukum syarak akibat cinta yang tidak terkawal itulah yang perlu dihindari.

~Cintai diri sendiri sebelum mencintai orang lain ^^

1 comments on "Awak Cinta Saya??"

Anonymous said... [Reply to comment]

Cinta Ilahi kekal abadi...

 

Dear Aziatie Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal