Showing posts with label kisah teladan. Show all posts
Showing posts with label kisah teladan. Show all posts

Sunday, October 31, 2010

Kisah Ashabul Kahfi

Posted by Aziatie at 3:08 PM 1 comments
Ashabul Kahfi adalah nama sekelompok orang beriman yang hidup pada masa Raja Diqyanus di Romawi, beberapa ratus tahun sebelum diutusnya nabi Isa as. Mereka hidup ditengah masyarakat penyembah berhala dengan seorang raja yang dzalim. Ketika sang raja mengetahui ada sekelompok orang yang tidak menyembah berhala, maka sang raja marah lalu memanggil mereka dan memerintahkan mereka untuk mengikuti kepercayaan sang raja. Tapi Ashabul Kahfi menolak dan lari, dikejarlah mereka untuk dibunuh. Ketika mereka lari dari kejaran pasukan raja, sampailah mereka di mulut sebuah gua yang kemudian dipakai tempat persembunyian.
Dengan izin Allah mereka kemudian ditidurkan selama 309 tahun di dalam gua, dan dibangkitkan kembali ketika masyarakat dan raja mereka sudah berganti menjadi masyarakat dan raja yang beriman kepada Allah SWT.
Kisah yang menggambarkan pemuda yang beriman dan dengan penuh cekal mempertahankan prinsip hidup mereka. Dalam usia yang masih muda mereka sudah mengenal betapa tingginya nilai iman dan agama sehingga mereka tidak sanggup menggadaikannya walaupun dengan tawaran harta benda yang mahal. Mereka lebih rela mempertahankan iman dan agama mereka biarpun terpaksa hidup dalam buangan dan terasing. Bahkan jika terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun, mereka akan sanggup melakukannya.

Kisah yang kita maksudkan ialah kisah Ashabul Kahfi. Kisah ini adalah kisah yang menonjolkan contoh pemuda yang memiliki segenap ciri pemuda Islam yang sebenar iaitu:

1) Teguh dengan iman dan prinsip hidup sebagai seorang muslim

2) Yakin kepada diri sendiri
3) Berani berhadapan dengan apa sahaja cabaran
4) Sentiasa bersemangat mengharungi liku-liku hidup
5) Mampu berhujjah mempertahankan pandangan dan prinsip hidup
6) Sanggup berkorban
7) Setiakawan dalam mengharungi cabaran bersama
8) Sentiasa menjaga ketaatan kepada Allah walau dalam suasana mana sekalipun.

Kisah ashabul kahfi (yang bermaksud penghuni-penghuni gua) diceritakan oleh Allah dengan panjang lebar di dalam surah al-Kahfi, bermula dari ayat 9 hingga ayat 26 (iaitu kira-kira 15 ayat). Sebab turun ayat-ayat yang menceritakan kisah dalam surah al-Kahfi ini sebagaimana yang diceritakan oleh ulama-ulama tafsir ialah: 

Paderi-paderi yahudi berhasrat untuk menguji Nabi Muhammad s.a.w. sama ada baginda benar-benar seorang Nabi atau tidak. Lalu mereka menyuruh orang-orang musyrikin supaya menguji baginda dengan bertanyakan tiga kisah ajaib yang berlaku pada zaman dahulu iaitu:

1. Kisah pemuda-pemuda yang bersembunyi dalam gua iaitu kisah ashabul Kahfi.

2. Kisah seorang raja adil yang mengelilingi dunia (timur dan barat) iaitu Zulkarnain.
3. Kisah tentang hakikat roh.


Setelah 15 hari Rasulullah s.a.w. menunggu, maka turunlah wahyu menceritakan ketiga-tiga kisah tersebut. Allah memulakan penceritaan dengan membentangkan rasa takjub manusia tentang kisah ini walaupun sebenarnya mereka tidak perlu rasa takjub kerana ia datang dari kudrat Allah, bahkan di sana terdapat banyak lagi tanda-tanda kekuasaan Allah yang lebih hebat dari peristiwa ini (seperti penciptaan langit dan bumi, penciptaan nabi Adam dan sebagainya).


Firman Allah swt: “Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ashabul kahfi (penghuni gua) dan ar-raqiim (anjing mereka) termasuk antara tanda-tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”. (al-Kahfi: 9)











Wednesday, October 27, 2010

Kisah Luqman al-Hakim dan anaknya

Posted by Aziatie at 2:07 AM 0 comments
Pada suatu hari, Luqman al-Hakim dan anaknya pergi ke pasar di mana Luqman ingin memperlihatkan kepada anaknya perbandingan antara pandangan manusia dan pandangan Tuhan. Luqman dan anaknya membawa seekor keldai. Luqman naik ke atas keldai memandunya, sedangkan anaknya berjalan kaki mengiringi keldai tersebut. Waktu manusia melihat keadaan tersebut, maka mereka berkata,
"Inilah orang tua yang tidak kasihan kepada anaknya. Dia bersenangan di atas keldai, sedangkan anaknya berjalan kaki."
Maka Luqman menaikkan anaknya duduk di atas keldai bersama-sama dengannya. Luqman di depan anaknya di belakang. Tidak lama kemudian dilihat oleh manusia yang lain, mereka berkata,
"Wah! Dua orang di atas keldai. Kenapa tidak dinaiki tiga orang sekaligus? (Supaya keldai cepat mati)."
Luqman pun turun dari keldai dan anaknya sajalah yang berada di atas keldai itu. Tidak lama kemudian manusia yang lain berkata pula,
"Wah! Orang tua berjalan kaki dan anaknya menunggang keldai."
Mendengar itu anaknya turun dari keldai berjalan kaki beserta orang tuanya. Dilihat lagi oleh manusia, mereka yang melihatnya berkata,
"Keldainya kosong tidak ditunggang, dan pelik! Kedua orang ini hanya berjalan kaki saja mengiringi keldai!"
Dari kejadian ini Luqman secara langsung mengajar anaknya dengan kejadian yang terjadi sebagai pengalaman, bahawa demikianlah apabila kita memandang terhadap makhluk dan terpengaruh kerana makhluk. Hal yang demikian tak ada hasilnya dan tak ada faedahnya. Maksudnya, Luqman mengajarkan kepada anaknya bahawa hubungan yang menenteramkan jiwa dan menyenangkan hati ialah hubungan kita dengan Tuhan. Hanya semata-mata pandangan Allah dan bukan pandangan manusia. Meskipun lahiriah kita sendirian, tetapi pada hakikatnya kita berserta Tuhan. Inilah makna dari perkataan alim besar Muhammad bin Aslam radhiAllahu `anhu:
"Apa peduliku antaraku dengan makhluk, adalah pada permulaan dalam sulbi orang tuaku, aku sendirian, kemudian aku berpindah ke dalam perut ibuku, aku sendirian, kemudian aku masuk ke dunia juga sendirian, kemudian rohku dicabut, juga sendirian, kemudian aku pun masuk dalam kuburku sendirian pula dan datanglah kepadaku Malaikat-malaikat Munkar dan Nakir menanyakan pertanyaan-pertanyaan kepadaku dalam keadaan aku sendirian pula. Kemudian amal baikku dan dosaku ditimbang dalam timbanganku, juga aku sendirian. Andainya jika aku dikirim ke syurga, aku sendirian, dan jika dikirim ke neraka aku pun sendirian pula. Maka apakah hubungan dengan manusia-manusia selianku?"
"Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah." (Luqman: 33)
Sekarang sudah jelas, bahawa lakukanlah apa yang kau putuskan dan semua itu mempunyai risiko, jangan terlalu takut dengan kritikan orang, sebab apapun yang anda putuskan tetap saja orang lain akan mengkritik bahkan anda diam pun akan dikritik, lakukanlah yang terbaik dengan risiko yang paling kecil. Cukuplah dengan pandangan Allah s.w.t atas kita. Pandangan Tuhanlah yang berfaedah . Penglihatan manusia atas kita, seperti menghormati kita, memuliakan kita, membesarkan kita dan lain-lain lagi. Cukupkan saja dengan pandangan hati, keyakinan hati bahawasanya Allah s.w.t melihat kita, memelihara kita dan menjaga kita.
Apa gunanya mengharapkan amal bakti dan taat dengan balasan wang ringgit atau keselesaan hidup di dunia ini sedangkan diri berada dalam kemurkaan Allah. Dan tidaklah bererti ketinggian ilmu yang dimiliki di samping kedudukan yang mulia di sisi makhluk sekiranya diri berada dalam pandangan kemurkaan dari Allah.
Pendek kata buatlah apa sahaja kebaikan dan ketaatan dan milikilah apa sahaja kesenangan dan keselesaan hidup, tetapi jika ianya tidak mendapat keredhaan dari Allah Taala atau mencari kemuliaan supaya dihormati orang, maka tidaklah berbaloi segala usaha dan pemilikan yang diterima.
Dengan demikian fahamilah wahai diri
Biarlah amal sedikit, atau ilmu yang sedikit asalkan Allah sentiasa meredhai hal diri kita,
Biarlah tidak masyhur, hina dan keji pada pandangan manusia asalkan Allah meredhai kita;
Biarlah hidup sederhana atau melarat dan terpenjara di dunia ini, asalkan hal diri kita sentiasa dalam keredhaan Allah.
Cukuplah.....dan memadailah dengan keredhaan Allah itu kerana tidak ada apa lagi yang lebih baik selain daripada mendapat keredhaan Allah
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu `anhu, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam (boncengan), lalu baginda bersabda: "Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku." (Hadis Hasan Sahih Riwayat Iman Tarmidzi)
Kandungan nasihat ini mengandungi dua pengajaran:
  1. Mengingatkan umat manusia bahawa mereka adalah makhluk yang lemah, kuasa mereka sangat terbatas, mereka tidak akan dapat mencapai apa yang mereka hajatkan tanpa bantuan pihak yang lain.
  2. Mengingatkan umat manusia betapa kuasa Allah yang tiada tara dan batasannya. Segala penghuni langit dan bumi tunduk kepada ketentuan-Nya. Jadi atas dasar inilah maka manusia mestilah memohon sesuatu hanya kepada Allah. Kecuali dalam hal-hal biasa yang termampu dikerjakan oleh manusia, seperti mengangkat suatu barang, meminjam sesuatu dan lain-lain. Namun demikian kita juga mesti memohon kepada Allah agar dipermudah jalan untuk mendapatkannya. Selain itu juga wajib diketahui bahawa memohon pertolongan kepada Allah atau berdoa kepada-Nya mestilah secara langsung secara terus menerus kepada-Nya.
Tidak ada orang yang dapat memberi manfaat dan mudarat tanpa izin Allah:
Rasul sollallahu `alaihi wasallam menerangkan kepada Ibnu Abbas radhiAllahu `anhu bahawa sekiranya sekalian umat atau makhluk berkumpulan dan bersatu untuk memberi manfaat kepadanya ataupun sebaliknya mereka bersatu dan berkumpul untuk mendatangkan mudarat kepadanya, namun semua itu tidak mungkin akan terjadi kecuali apa yang telah dituliskan untuknya di Luh Mahfudz sejak azali.
Oleh sebab itu kita tidak seharusnya terlalu gembira atau berduka terhadap sesuatu yang dilakukan oleh orang lain terhadap diri kita. Kerana kita yakin bahawa segala-galanya adalah di dalam ketentuan Allah. Kalau di dalam ketentuannya tidak ada keputusan untuk memberikan sesuatu kepadanya, nescaya dia pasti tidak akan dapat memperolehinya walaupun seluruh makhluk bersatu berusaha untuk menolongnya. Demikian sebaliknya kalau ditentukan bahawa ia akan mendapatkannya, walaupun seribu halangan, pasti ia akan memperolehinya juga.
Allah berfirman: Dan jika Allah kenakan bahaya kepada engkau maka tidak ada yang dapat melepaskannya melainkan Dia. Dan jika dia mahukan kebaikan kepada engkau maka tidak ada yang dapat menolak kurnianya itu. (Yunus: 107)

Sunday, October 24, 2010

Kisah Rasulullah dengan sebiji limau

Posted by Aziatie at 1:08 AM 1 comments
"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buah limau tersebut. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum.

Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda.

Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya".

Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya wanita kafir tadi bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

 

Dear Aziatie Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal