Monday, January 3, 2011

Teh Sukat Penyebab Kanser

Posted by Aziatie at 9:34 PM
Gambar atas: Seorang anggota penguat kuasa menunjukkan bungkusan serbuk teh yang dirampas kerana menggunakan bahan pewarna terlarang dalam satu operasi di Kota Bharu tahun lalu.
Bawah: Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Mustafa Ali Mohd.


KL 3 Jan 11: Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak pengambilan berterusan air teh sukat yang banyak dijual di gerai-gerai teh tarik bagi mengelak risiko penyakit kanser.
Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Mustafa Ali Mohd. berkata, bahan pewarna sintetik yang banyak dipakai dalam industri mewarna kain menjadi pilihan kerana kosnya lebih murah.
"Bahan pewarna ini mempunyai pelbagai jenis dan kumpulan. Salah satu daripadanya ialah karsinogen yang sangat berbahaya kerana ia tidak boleh dihadam dengan baik.
"Ia juga boleh mengganggu sistem DNA manusia sekali gus mendorong pertumbuhan pelbagai jenis barah dalam tisu hidup,'' katanya kepada Kosmo!ketika dihubungi semalam.
Antara jenis barah berpunca daripada karsinogen ialah barah paru-paru, hati, prostat dan usus.
Katanya, teh itu tidak mempunyai label dan dijual secara timbang di kebanyakan kedai runcit serta menjadi pilihan ramai pengusaha makanan dan minuman.
Mustafa berkata, serbuk teh murah itu jika dicampur dengan air panas serta-merta mengeluarkan warna kuning pekat.
"Tindak balas itu menandakan wujudnya bahan pewarna sintetik.
"Bagi serbuk teh asli tanpa bahan pewarna sintetik, ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk mengeluarkan warna, malah ada jenis yang airnya kita perlu kacau sebelum keluar warna kekuningan," katanya. (Kosmo!Online)

0 comments on "Teh Sukat Penyebab Kanser"

 

Dear Aziatie Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal