Monday, July 26, 2010

Kelebihan Sya’ban & malam Nisfu Sya’ban

Posted by Aziatie at 12:12 AM
Catatan ni dipetik drp:
Ustaz Halim INIJALANKU
www.inijalanku.wordpress.com
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; Selawat dan Salam ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.


Sempena bulan Syaaban & malam Nisfu Syaaban, saya nukilkan beberapa hadis dari kitab Sahih Al-Bukhari dan kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty. Kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah rujukan paling utama dalam Islam selepas Al-Quran.
“Nisfu” bermakna separuh/ 14hb.
Abdullah b Yusuf menyampaikan kepada kami, dari Malik, dari Abi An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah ra. dia berkata (bermaksud), 
“Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh 1 bulan melainkan dalam bulan Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Imam Al-Bukhari).
Nabi saw bersabda,
“Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu yang jemu dulu (penat)”. 
Aisyah ra menyambung, 
“Solat yang paling disukai Nabi saw ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi saw apabila solat, dia mengerjakannya secara konsisten” (Imam Al-Bukhari).


Abu Mikmar menyampaikan kepada kami dari Abdul Warith, dari Abu At-Tayyah, dari Abu Uthman, dari Abu Hurairah ra. berkata,
" Kekasihku (Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara iaitu puasa 3 hari setiap bulan (13, 14 & 15hb), 2 rakaat Dhuha dan Solat Witir sebelum aku tidur”. (Imam Al-Bukhari)."
Abdullah bin Maslamah menyampaikaan kepada aku dari Malik, dari Ibnu Syihab, dari Abi Salamah dan ayahku Abdullah Al-Agharry, dari Abu Hurairah ra sesungguhnya Rasulullah saw bersabda (bermaksud),
“Tuhanku tabaaraka wa taala turun ke langit dunia setiap malam bila 1/3 akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada aku, untuk Aku memperkenankan doanya? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk Aku berikan kepadanya? Mana orang yang memohon keampunan Ku, untuk Aku mengampuninya? (Imam Al-Bukhari).
Di dalam Hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari di atas, tidak disebut secara khusus puasa sunat hari Nisfu Syaaban 14/ 15hb Syaaban, namun disebut secara khusus berpuasa sunat pada 13, 14 & 15hb setiap bulan yang mana termasuklah didalamnya hari pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban). 

Di dalam hadis Sahih Al-Bukhari juga tidak disebut secara khusus berqiamullail malam Nisfu Syaaban, tetapi disebut berqiamullail disetiap malam dan ini termasuk malam pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban).

Adapun berqiamullail pada malam Nisfu Syaaban & berpuasa pada siang harinya secara khusus menyebut kalimat “Nisfu Syaaban”, status hadisnya (sahih, hasan sahih, hasan, dhaif, maudhuk dll) adalah menjadi perbincangan akademik para ulamak hadis. 

 Jika tidak mencapai ke tahap Sahih, ia tidak boleh dijadikan hujah Syarak, namun jika dipadankan dengan Hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari diatas, ia boleh dijadikan panduan untuk Fadhail A’mal (Fadhilat Amal Ibadah) dalam Islam. 
“Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah dan bekerjasama ke arah mencapai perkara yang sebenar, tanpa membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub” (Imam Hasan Al-Banna).
Akhir, secara amalinya, bangun malam (qiamullail) & berpuasa 14hb Syaaban adalah ibadah  Syar’iyy, yang merupakan salah 1 taqarrub ilallah (mendekatkan diri kepada Allah) & bukan bid’ah.

Berikut adalah sebahagian hadis berkenaan Nisfu Syaaban dari kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty:

Dari Usamah b Zaid ra berkata, 
“Aku bertanya, ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan lain sepertimana engkau berpuasa dibulan Syaaban”. 
Rasulullah bersabda, 
“Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, diantara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan kepada Tuhan sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa” (riwayat An-Nasaie).
Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas ra. dia berkata,
“Nabi saw ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa”. 
Nabi saw menjawab bermaksud, 
“Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. 
Nabi saw ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. 
Nabi saw menjawab, “Sedekah dibulan Ramadan”. 
Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih. Dari Ibnu Majah dari Ali ra. dari Nabi saw bersabda bermaksud, 

“Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, & berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah swt turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman, 

“Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia ? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki ? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia ? Adakah di sana … adakah di sana … ? sehingga terbit fajar”.

Dari Al-Baihaqy dengan sanad-sanadnya dari Aisyah ra. bahawa Nabi saw bersabda bermaksud, 
“Jibril telah mendatangi aku dan berkata: Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu Allah membebaskan hamba-hamba dari siksaan Api Neraka seramai bilangan kambing Bani Kalb (merentasi satu tempat) selama sebulan. pada malam itu Allah tidak menoleh kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus silaturrahim, penderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”. 
Bani Kalb adalah kabilah Arab yang terbesar atau yang memiliki bilangan kambing yang terbanyak.

Akhir kata, Allahumma a’inni ala zikrika wa syukrika wa husni ibadatik (Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati, mensyukuri dan beribadah kepadaMu). Ameen ya rabbal alameen.

0 comments on "Kelebihan Sya’ban & malam Nisfu Sya’ban"

 

Dear Aziatie Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal